Di Bawah

>> Wednesday, June 3, 2009

Menurut perkiraan aku ini dah kali ketiga aku berada di bawah. Mungkin juga yang keempat, kalau diambil kira sewaktu kali pertama belajar dulu. Tapi apa sebenarnya yang ketiga, keempat dan pertama? Mana pula yang kedua?

Minggu lalu (selasa) aku berada di bawah. Aku bangun secepat yang mungkin, risau akan sesetengah yang berada dibelakang, mengejar masa tanpa sempat memberhentikannya. Apa yang pasti kali yang ketiga itu, masa seolah-olah berhenti. Setiap orang yang ada, setiap mata yang melihat, terpaku dan memaku penglihatan mereka terhadap aku. Segala yang berada dihadapan meninggalkan aku, segala yang berada di belakang terhenti menunggu. Bagaikan masa yang berpecah dua dan aku sebagai sempadan. Namun sempadan boleh direntasi. Syukur Alhamdulillah, aku benar-benar menjadi sempadan di waktu itu. Setelah melihat semuanya terhenti, aku berjalan perlahan-lahan dan hanya mampu memandang ke bawah, ke arah ‘harta’ aku yang terbaring di tengah-tengah Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.

“Disangkakan panas sampai ke petang rupa-rupanya hujan ditengahari”. Tapi hari tu bukan hujan ditengahari tetapi sepanjang hari. “Malang tidak berbau”. Memang tidak berbau. Motor dihadapan brek mengejut tanpa mengelipkan lampu di belakang, sempat atau tidak aku juga terpaksa melakukan perkara yang sama, tapi agak terlewat. Jalan yang licin, brek pula diatas garisan putih, mengharap agar sempat berhenti tetapi motorsikal tetap menggelungsur ke arah motor dihadapan. Sebagai langkah terakhir, brek tangan digunakan. Motorsikal dapat dihentikan, pelanggaran dapat dielakkan tapi aku hilang keseimbangan. Hanya satu ada di fikiran: “kenderaan di belakang”.

Andai kata kereta di belakang mengejar masa dan merentasi sempadan, sempadan putih mungkin menjadi merah. Dengan perasaan yang bercampur baur dan fikiran yang bercelaru memproses setiap data mengenai kejadian tersebut, aku dirikan motorsikal, hidupkan enjin dan berlalu pergi tanpa menyedari terdapat sebuah kereta (berada di sebelah motorsikal aku semasa jatuh) telah melalui atas motorsikal aku.

Syukur: Tiada apa yang serius berlaku yang melibatkan diri sendiri dan juga orang lain. Teringat Ustaz Rock kita kemalangan kereta sampai terbalik kereta beliau, perkara pertama yang beliau lakukan sewaktu keluar daripada kereta adalah sujud syukur di atas jalan raya. Bolehkah aku lakukan perkara yang sama dalam sedetik masa.

Kesal: Perkara pertama yang ada di fikiran bila nyawa di hujung tanduk bukannya Allah swt tapi keselamatan diri. Teringat juga kata orang, kadang-kadang sakit tu rahmat, dapat beringat tentang perkara yang dibuat, dapat bertaubat selagi sempat. Ya Allah matikanlah aku dalam iman.

Jangan selalu fikir untuk berada di atas, kerana entah bila kita akan berada di bawah. Jangan fikir untuk berada di bawah sahaja kerana tiada peningkatan di dalam hidup, Allah swt akan marah. Contoh paling senang solat, solat pun perlu ada peningkatan. Jangan umur suku abad tapi masih bersolat pada tahap darjah empat. dan selalulah memikir akan perkara yang lebih bawah sebawah-bawahnya, hidup tanpa catitan amal lagi di dunia.

Read more...

Caca Merba

>> Friday, February 27, 2009

Caca merba merupakan ayat yang sesuai menggambarkan keadaan sebulan yang lalu. Ayat yang jarang sekali digunakan aku, namun kerap kali kedengaran apabila rakan sekerja berada dalam kekalutan dan stress ketika bekerja. "Caca merba kepala aku".

Bagi aku bukan caca merba di kepala yang berlaku tetapi di hati yang bercelaru menahan panas darah muda yang bergelegak. Jarang sekali 'perak' dikejar lebih daripada emas namun terbukti awal bulan yang lalu 'perak' kelihatan lebih berkilau daripada emas malah minggu seterusnya dan bulan yang mendatang 'perak' berkemungkinan akan menjadi lebih berharga daripada emas. Caca merba dibuatnya.

Bertambah-tambah caca merba hati dan perasaan aku apabila episod 'memalukan' bagi YB dan pihak media. YB sudahlah menanggung malu tapi pihak media pula cuba menambah aib si YB. Sehinggakan tidak sanggup menonton berita ketika episod ini masih panas. Dibukanya tv3 itulah beritanya. Diubah saluran dekat di hati lain pulak jadinya, bertambah caca merba hati aku dibuatnya dengan pemberita bertudung elok dan merupakan kaum sejenis dengan YB, tanpa segan silu mengatakan keadaan atau posisi YB di dalam foto yang ter......

Tidak payahlah aku sambung ayat tersebut. Anda sendiri juga mungkin tahu perkataan tersebut bagi yang tonton dan dengar. Tergamak hati pemberita perempuan itu. Sedangkan dalam Islam orang telah meninggal pun kita tidak boleh sebutkan keaiban mereka, apatah lagi ketika jasad orang itu masih bernyawa.

Namun tidak 100 peratus aku sokong YB kerana selaku pemimpin sepatutnya YB perlu serba serbi ketahui etika dan pemahaman masyarakat Malaysia terutama masyarakat melayu islam secara khususnya. Ini yang membuatkan perkara tersebut menjadi lebih caca merba dan hatiku lebih caca merba dalam memilih pemimpin. Tidakkah si YB tahu hubungan tanpa ikatan bersama dengan orang islam adalah satu hubungan yang sangat berdosa, sangat menjijikan dan sangat menghinakan dalam pandangan masyarakat muslim. Kalau hudud dilaksanakan sangat berat hukuman yang dikenakan.

Oleh yang demikian hal ini aku sama sekali tidak boleh berada di belakang YB, sekaligus menyanggah bahawa YB dapat memimpin. Kerana akhlak YB dan moral YB tersebut. Akhirnya perbuatan tersebut terpalit ke muka sendiri. Dan kesalahan tersebut patut juga aku letakkan pada lelaki yang menghilangkan diri tersebut selaku muslim tapi tidak langsung melambangkan diri sebagai muslim.

PAS tolonglah nasihatkan pemimpin parti lain. kerana ini akan mencemarkan diri PAS sendiri. Caca merba dibuatnya aku. Ngan kerja lagi berlambak. Arghhhhh!!!!

Read more...