Di Bawah

>> Wednesday, June 3, 2009

Menurut perkiraan aku ini dah kali ketiga aku berada di bawah. Mungkin juga yang keempat, kalau diambil kira sewaktu kali pertama belajar dulu. Tapi apa sebenarnya yang ketiga, keempat dan pertama? Mana pula yang kedua?

Minggu lalu (selasa) aku berada di bawah. Aku bangun secepat yang mungkin, risau akan sesetengah yang berada dibelakang, mengejar masa tanpa sempat memberhentikannya. Apa yang pasti kali yang ketiga itu, masa seolah-olah berhenti. Setiap orang yang ada, setiap mata yang melihat, terpaku dan memaku penglihatan mereka terhadap aku. Segala yang berada dihadapan meninggalkan aku, segala yang berada di belakang terhenti menunggu. Bagaikan masa yang berpecah dua dan aku sebagai sempadan. Namun sempadan boleh direntasi. Syukur Alhamdulillah, aku benar-benar menjadi sempadan di waktu itu. Setelah melihat semuanya terhenti, aku berjalan perlahan-lahan dan hanya mampu memandang ke bawah, ke arah ‘harta’ aku yang terbaring di tengah-tengah Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.

“Disangkakan panas sampai ke petang rupa-rupanya hujan ditengahari”. Tapi hari tu bukan hujan ditengahari tetapi sepanjang hari. “Malang tidak berbau”. Memang tidak berbau. Motor dihadapan brek mengejut tanpa mengelipkan lampu di belakang, sempat atau tidak aku juga terpaksa melakukan perkara yang sama, tapi agak terlewat. Jalan yang licin, brek pula diatas garisan putih, mengharap agar sempat berhenti tetapi motorsikal tetap menggelungsur ke arah motor dihadapan. Sebagai langkah terakhir, brek tangan digunakan. Motorsikal dapat dihentikan, pelanggaran dapat dielakkan tapi aku hilang keseimbangan. Hanya satu ada di fikiran: “kenderaan di belakang”.

Andai kata kereta di belakang mengejar masa dan merentasi sempadan, sempadan putih mungkin menjadi merah. Dengan perasaan yang bercampur baur dan fikiran yang bercelaru memproses setiap data mengenai kejadian tersebut, aku dirikan motorsikal, hidupkan enjin dan berlalu pergi tanpa menyedari terdapat sebuah kereta (berada di sebelah motorsikal aku semasa jatuh) telah melalui atas motorsikal aku.

Syukur: Tiada apa yang serius berlaku yang melibatkan diri sendiri dan juga orang lain. Teringat Ustaz Rock kita kemalangan kereta sampai terbalik kereta beliau, perkara pertama yang beliau lakukan sewaktu keluar daripada kereta adalah sujud syukur di atas jalan raya. Bolehkah aku lakukan perkara yang sama dalam sedetik masa.

Kesal: Perkara pertama yang ada di fikiran bila nyawa di hujung tanduk bukannya Allah swt tapi keselamatan diri. Teringat juga kata orang, kadang-kadang sakit tu rahmat, dapat beringat tentang perkara yang dibuat, dapat bertaubat selagi sempat. Ya Allah matikanlah aku dalam iman.

Jangan selalu fikir untuk berada di atas, kerana entah bila kita akan berada di bawah. Jangan fikir untuk berada di bawah sahaja kerana tiada peningkatan di dalam hidup, Allah swt akan marah. Contoh paling senang solat, solat pun perlu ada peningkatan. Jangan umur suku abad tapi masih bersolat pada tahap darjah empat. dan selalulah memikir akan perkara yang lebih bawah sebawah-bawahnya, hidup tanpa catitan amal lagi di dunia.

4 comments:

baRd June 22, 2009 at 9:24 PM  

mamat ni klu bwk moto mesti asik nk jatuh je...hahahahaha....syukur x derr pape..hehehe..ayat power...

Mohd Azri Abd Rahman June 25, 2009 at 9:02 PM  

bawak perlahan bai. cuma tak bernasib baik. tapi tu ar aku memikir perkara yang sama. bawak motor asyik jatuh jer bawak keter tak jatuh plak.:) ayat power tu pujian kan. terima kasih.

Unknown July 1, 2009 at 8:49 PM  

lepas nih bawak hati hati k..isau plak...jaga diri.hihih..alhamdulillah hang okay!!lega..

Unknown July 6, 2009 at 9:46 PM  

betul2...ish2.. bwk lek lok sikit.. ingat kat orng yang menyayangi anda..