Peti Kecil

>> Friday, October 31, 2008

Susah, memang susah. Memikirkan nama yang sesuai untuk blog memang satu perkara yang memeningkan. Diikutkan hati nama yang unik dan menarik menjadi pilihan dan kalau boleh mempunyai makna yang tersirat, baru bermakna blog yang dibuat. Persoalannya apa yang ada pada nama kalau isi tak seberapa?

Setelah berfikir seharian, ‘peti kecil’ menjadi pilihan. Ada sebabnya aku pilih nama ni. Idea ini sebenarnya datang dari sebuah novel fantasi kegemaran ramai. Melalui siri tersebut ada disebutkan bahawa terdapat sebuah peti yang mempunyai banyak kunci untuk membukanya, tetapi setiap kunci membuka kandungan peti yang berbeza-beza. Alangkah baiknya kalau terdapat peti seperti itu di dunia yang nyata ini, save money and spaces. Memang jimat. Isteri-isteri tersenyum lebar, para suami menepuk poket walaupun tidak berisi.

Tanpa disedari otak kita juga berfungsi sebegitu. Sebuah organ yang terletak di kepala, bagaikan peti kecil namun dapat menyimpan segala perkara yang baik dan juga buruk. Maka yang bertindak sebagai kunci adalah kehendak diri atau niat kita di hati. Baik niat kita, buah fikiran yang dikeluarkan juga adalah baik; buruk kehendak kita sebaliknya yang akan terjadi.  Oleh itu boleh dianggap pemikiran kita berdasarkan kunci yang dipegang, kalau iman sebagai kunci, Alhamdulillah syukur nikmat Malaysia maju rakyat selamat. Tetapi kalau nafsu sebahagian daripada kunci pastikan terdapat kunci iman sebagai safety.

Dipendekkan cerita, peti kecil ini mewakili otak aku yang akan cuba mengeluarkan idea atau buah fikiran dan berkongsi pengalaman yang datangnya dari hati aku, dan iman sebagai guideline atau dalam kata lain kunci safety aku. Oleh itu ambillah apa yang jernih dan buanglah apa yang nampak keruh.  

Bercakap tentang nama, ingin berkongsi sedikit. Daripada apa yang diajar nama itu bagaikan doa. Dari nama membentuk peribadi diri seseorang. Jadi esok-esok cubalah beri nama anak dengan makna yang baik sebagai satu doa apabila memanggil nama mereka. Tapi kalau dilihat suasana sekarang, nama yang diberi sampai tidak cukup ruang  di dalam borang, alih-alih nama timangan menjadi panggilan, kan rugi di situ.  Jadi elok difikirkan nama yang simple dan senang dipanggil, selaku ibubapa yang akan sentiasa mendoakan anaknya hanya dengan memanggil nama mereka sahaja. InsyaAllah.

Begitu juga dengan blog, nama yang simple dan senang diingati oleh sesiapa sahaja adalah yang terbaik dan dengan nama yang dipilih sedikit sebanyak akan membentuk dan memaparkan isi blog yang hendak disampaikan. Akhirnya, terjawab juga persoalan di atas. 

2 comments:

KitaSayaAwak October 31, 2008 at 8:31 AM  

emmm..nmpknya awk dh ada sorang lagi pembaca tetap blog awk ni... :-)

Mohd Azri Abd Rahman November 2, 2008 at 5:07 AM  

Terima kasih. Ramaikan lagi. Sebarkan lagi blog ni.