Berani Kerana...

>> Sunday, November 2, 2008

Rokok oh rokok. Rupamu akan berwajah baru. Meningkatkan lagi harga diri mu. Bagi yang mantap lagi gebu, saiz 20 sudah tentu, sekurang-kurangnya 6 not biru. Tinggi sungguh harga meminangmu. “Adui sakit kepala” bagi yang cukup minat akan kamu. Haru biru bagi yang melihat penampilanmu. 4 ribu ramuan dalaman satu persatu, 6 jenis penangan yang ada pada kamu. Namun begitu belum ada yang give up tu. Sehidup semati kerana kamu.

Maaf bagi yang terasa. Sebenarnya kiasan diatas aku buat bersumberkan petikan akhbar baru-baru ini yang bertarikh 30 Oktober 2008. Mulai tahun depan (2009) rokok Malaysia akan berwajah baru dengan imej kesan merokok yang serius di depan dan belakang kotak. 6 jenis penyakit yang dikesan melalui rokok akan dipamerkan di setiap kotak rokok. Malah di situ juga akan tertera di kiri atau kanan, amaran ‘rokok mengandungi 4000 bahan kimia’ yang selama ini hanya tertera amaran nikotin. Selain itu juga kerajaan akan mengharamkan penggunaan ayat “low tar”, “light”, “ultra-light” dan juga “mild” pada rokok bagi menerangkan kebahayaan apa sahaja produk yang bernama “rokok” dan menaikkan harga rokok minimum RM 6 bagi 20 batang rokok sekotak. Berjaya atau tidak kempen tersebut, kita hanya tunggu dan lihat.

Bagi aku rokok dianggap haram, walaupun ada sesetengah pihak yang menyatakan ia hanya makruh di dalam Islam. Bagaimana boleh terjadinya dua pendapat yang berbeza? Mari dengar aku bercerita.

Rokok telah wujud sekelian lama sejak zaman yang aku sendiri tidak tahu bila kewujudannya. Penangan rokok dilihat telah merantau sehingga kepada orang Islam sendiri sudah mulai merokok. Namun pada zaman dahulu rokok hanya dilihat sebagai satu aktiviti yang melalaikan. Sambil melepak menghisap rokok lalu mengeluarkan asap bila dihembus. Berkepul-kepul tanpa dapat apa faedah daripadanya, cuma kepuasan di dada anggap mereka. Melihat perkara itu para ulama’ Islam menganggapnya sebagai satu aktiviti yang melalaikan dan membusukkan mulut. Maka ia jatuh pada hukum makruh. Setelah sekian lama berada pada hukum tersebut, kajian telah dilakukan ke atas rokok dan aktiviti merokok, dan didapati bahawa rokok merosakkan diri malah membunuh diri perokok. Dengan automatiknya rokok terjatuh pada hukum haram mengikut ulama’.  Walaupun begitu kepuasan mengatasi segalanya maka ada yang masih berpegang pada hukum makruh.

Rata-rata perokok di Malaysia mengetahui akibat dan kesan merokok. Terbatuk-batuk, paling hebat pun darah sahaja yang keluar; sesak nafas, paling hebat pun tak boleh bernafas sahaja; kanser di merata, paling hebat pun air mata menahan sakit tak terkata. Namun mereka masih lagi BERANI sakit untuk kepuasan diri mereka. BERANI lagi berdalih makruh sedang haram hukum yang nyata. BERANI memarahi anak yang merokok sedangkan anak-anak mengikuti mereka. BERANI menanam janin sedangkan bini keguguran kerana rokok mereka. BERANI lagi merokok sedangkan orang lain tak berfilter dia seorang selamat saja. Segalanya BERANI kerana rokok semata-mata. Kalau di kata rokok seperti membunuh diri, statement itu tak boleh diterima tapi menjamin akan berhenti satu ketika.

TOLONGLAH BERHENTI WAHAI PEROKOK. Jadi seorang yang BERANI melawan nafsu, melawan keinginan yang diliputi bisikan syaitan. Aku memuji KEBERANIAN orang yang berhenti merokok. Aku menghormati KEBERANIAN orang yang bertaubat daripada merokok. Aku pasti, memang susah untuk berhenti, tapi tanpa usaha dan niat di hati, kata-kata berhenti itu bagaikan ‘batuk yang dilepaskan ditepi tangga sahaja’. Aku sekali lagi meminta maaf kalau ada yang terasa, tapi memang niat aku untuk buat orang terasa. Untuk hindari rokok yang binasa.

0 comments: