Lewat, Terlewat, Sengaja Lewat
>> Monday, November 10, 2008
Dah lama tak ada post baru di blog ni. Sejak dua menjak, diri ini tak berapa sihat dan sibuk dengan final projek dan exam. Untuk mengubat kerinduan, aku ambil post di facebook untuk dikongsi bersama. Post ni berada di facebook pada bulan Ramadhan yang lalu. Jadi tarikh tersebut boleh diabaikan, yang penting mesej yang hendak disampaikan.
4 Ramadhan 1429h. Sudah 3 hari berlalu Ramadhan. Adakah kita berasa sebarang perubahan dalam bulan yang penuh RAHMAH ini? Alhamdulillah perubahan yang sedikit juga penting. Takpe, sama-sama kita kayuh pelan-pelan sehingga ke tahap yang Allah redhai. Tapi apa yang hendak dikongsi di sini adalah mengenai tabiat buruk orang Melayu termasuk diri saya sendiri. Walaupun sudah beberapa kali berazam, berapa kali Ramadhan perkara ini susah sekali untuk diubah. Sudah menjadi darah daging agaknya iaitu sifat lewat, terlewat atau sengaja melewatkan.
Perkara ini terlintas di peti kecil saya pagi tadi, apabila kerap kali terlewat menghadiri kelas yang sepatutnya 8 pagi officially, dan masa tersebut diubah ke 8:30 pagi untuk memudahkan pelajar dan pensyarah yang sentiasa lewat, dan ditambah pula masa 8:30 tersebut ditetapkan oleh pelajar sendiri. Namun diri ini tetap juga lewat, sedangkan mata ini tetap berjaga selepas sahur. Akibatnya siapa yang menjadi mangsa?
Pada mata kasarnya tiada siapa, pelajar yang lewat (saya) tidak dimarahi, pensyarah tidak menunjukkan sebarang reaksi dan konsentrasi pelajar lain di dalam kelas tidak lagi boleh disangsi (almaklum sentiasa masuk kot belakang senyap-senyap). Namun pada mata hati yang menjadi mangsa itu saya, selaku pelajar yang tidak memegang amanah Allah, ilmunya kurang, penghormatan pensyarah pada saya akan kurang, dapat markah lagi kurang (markah bonus tak dapat). Dan mungkin juga pelajar lain menjadi mangsa, konsentrasi belajar hilang, mungkin ada yang naik berang. Pensyarah pulak mungkin bengang, hilang mood nak terang. Itu cuma untuk beberapa minit yang hilang.
Cuba kita bayangkan. Rakan kita berjanji hendak berjumpa di sekian-sekian tempat pada pukul 1. Dan pada pukul 1 jugalah kita tunggu di tempat yang dijanjikan. Maklumlah raya nak kunjung tiba, semangat tu lebih dari biasa membayangkan baju baru di depan mata.
15 minit berlalu tak sampai lagi, 30 minit batang hidung tak nampak lagi, takpe bulan Ramadhan kesabaran lebih tinggi. 1 jam berlalu, jam menunjukkan pukul 2, hati dah mula panas tak sabar menanti. 2:30, mulut dah terkumat-kamit tanpa suara tanpa henti. 3, suara mula kedengaran, berpuasa hanya berlapar dan dahaga sahaja sekarang ini. 4 sehingga asar pun tak sampai lagi, memang nahas budak ini. Waktu ini pahala entah ke mana puasa pula entah ke mana, solat pun mungkin entah ke mana. Kemarahan berada di tahap maksima. Yang menjadi mangsa adalah kedua-duanya, rakan kita injured benjol di kepala, kita solat entah ke mana puasa pula tak dapat pahala.
Situasi yang sama cuma sudut yang berbeza, di mana yang berjanji itu kita dan Allah swt ‘menunggu’ kita menunaikan solat. Pukul 1, azan zuhur berkumandang, kita pun sekejap lagi la “awal lagi”. Pukul 2, cerita best ni waktu habis 1 jam dari sekarang, solat lepas ni la “boleh lagi”. Pukul 3, dah dengkur depan tv alih-alih pukul 4 lebih nak dekat asar baru terjaga, tengok jam “SEMPAT LAGI” bisik kita. Itu kalau yang bangun, kalau yang tak bangun.... Nahas kita. Bayangkan manusia selaku hamba Allah swt tidak sabar dan marah jika diperlakukan sebegitu, apatah lagi Allah swt Tuhan Sekalian Alam. MurkaNya terhadap kita tidak dapat dibayangkan. Namun disini yang menjadi mangsa dan rugi adalah kita dan bukan Allah swt dan Dia tidak sedikit pun rugi.
Kita berjanji dengan Allah swt sebagai seorang Muslim akan menunaikan solat 5 waktu sehari semalam. Kita mengetahui waktu yang perlu untuk menemuiNya, semua telah ditetapkan sejak sekian lama, azan pula boleh kedengaran. Namun kita tetap tidak bersedia menemuinya pada waktu yang ditetapkan malah memberatkan dan memBESARkan perkara lain daripada Allah Yang MAHA BESAR. Kalau terlewat kelas kita berlari-lari takut terlewat, namun kalu terlewat solat kita cuma QADA’ dan berdoa beberapa saat. ASTAGHFIRULLAH. Oleh itu marilah kita ingat kembali janji kita pada Allah swt, di mana kita sepatutnya menunggu dan bersedia pada setiap waktu untuk bertemu denganNya.
0 comments:
Post a Comment